Untuk pertama kali sejak Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri akhirnya mengulas berhubung dialognya dengan NGO yang kemudian 'diambil alih' Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib berkata dialog dengan perdana menteri keempat itu secara terbuka tidak sesuai dilakukan secara terbuka memandangkan mereka berdua daripada parti yang sama.

“Ia  tidak membawa sebarang kebaikan kepada Umno dan BN,” katanya.

Najib berkata sebagai perdana menteri dan presiden Umno beliau bertanggungjawab menjaga nama baik kerajaan dan parti.

“Tun Mahathir berhak bertanya dan saya sanggup memberi penjelasan kepada beliau.

“Ini saya lakukan agar perkara munasabah yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir dapat dijelaskan,” katanya.

Menulis di blognya hari ini, Najib berkata beliau kesal acara tersebut terpaksa dibatalkan atas alasan keselamatan dan niatnya berdialog dengan NGO tidak dapat diteruskan.

“Bagaimanapun, saya akan terus menyampaikan maklumat dalam apa jua cara yang baik dan berhemah,” katanya.

“Ini termasuklah menerima undangan NGO NGO, dan saya akan berjumpa dengan kumpulan NGO NGO dalam masa yang akan datang ini.”