Selepas bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said secara terbuka berdiri di samping Tun Dr Mahathir Mohamad, Umno negeri itu kini tampil menyerang perdana menteri 22 tahun itu.

Ketua penerangannya Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar menangkis satu persatu serangan Mahathir yang pada Jumaat lepas di Kuala Lumpur dalam acara yang sepatutnya dihadiri Najib.

Beliau juga menyentuh kritikan Mahathir tentang kepimpinan Najib yang digambarkan takut kepada Singapura dalam isu kereta api laju ke Singapura, yang menurutnya “agak umum dan boleh memesongkan”.

“Bila pula kita kena tanya singapura untk buat servis kereta api di negara kita? Kalau melibatkan Woodland di Singapura memang perlu persetujuan Singapura,” katanya.

“Agak dramatik untuk samakan negara kita dijajah semata-mata Najib berkompromi dengan negara jiran dengan dasar ‘menang-menang’.

“Zaman Tun M dengan Lee Kuan Yu dan Bush untuk bertegang urat sudah berlalu... Era ‘ cowboy diplomacy ’ (diplomasi koboi) sudah berlalu,” katanya.

Mahathir tak relevan

Najib tidak hadir dalam dialog terus terang bersama NGO dalam isu 1MDB di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Mahathir yang mahu mendapatkan penjelasannya kemudian mencuri pentas dan berucap ringkas sebelum diberhentikan dan diiring keluar oleh polis.

Sebelum itu Mahathir mengadakan sidang media ditemani Ahmad, yang antaranya menyentuh langkah dakwaan pendahulu 1MDB – Terengganu Investment Authority (TIA) – mahu mencagarkan telaga minyak untuk berhutang.

Sementara itu Wan Abdul Hakim berkata persetujuan Mahathir tidak relevan dalam membuat keputusan hal ehwal negara kerana beliau bukan lagi perdana menteri.

“Dalam parti Umno, semua ahli boleh bagi pendapat. Tetapi akhirnya presiden yang akan beri kata putus.

“Dan beliau perlu bertanggungjawab atas keputusan beliau” katanya.

Wan Abdul Hakim berkata sebagaimana ahli parti akur pada keputusan yang dibuat Mahathir sewaktu menjadi presiden, beliau juga patut akur pada presiden Umno sekarang.