Pemuda PAS Ipoh Timur menggesa jawatankuasa akar umbi parti tersebut mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu hubungan dengan parti DAP.

Ketuanya, Salman Saleh berkata, semua PAS Kawasan perlu mengadakan mesyuarat tersebut untuk mengelak perseteruan di antara anggota kedua-dua parti berterusan.

“Justeru, kami mendesak dengan segera agar ada PAS Kawasan yang akan memanggil Mesyuarat Agung Khas. (Ia) demi menyelamatkan rakan-rakan kita di Pulau Pinang dan Selangor.

“Ianya penting untuk memulihkan kembali keadaan yang menyebabkan salah faham dan berlaku serang-menyerang setelah usul tersebut diterima,” kata Salman dalam kenyataannya.

Katanya, mesyuarat agung khas itu boleh dijalankan mengikut peruntukan Fasal 18.2 (B) dalam Perlembagaan PAS.

“Mesyuarat Agung Khas ini penting kerana mengambil kira kedudukan PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Jelasnya, ia bagi mendapatkan kata putus kerana usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP yang diluluskan dalam Muktamar PAS ke-16 itu masih menimbulkan teka-teki.

“Kami di peringkat bawah parti gusar dengan keadaan ini dan seolah-olah pimpinan tidak bertindak segera menyelesaikan kekalutan yang ada,” tambahnya.