Kontinjen Filipina mengemukakan bantahan kepada panitia Sukan SEA di Singapura kerana mencurigai salah seorang pemain skuad bola tampar wanota Indonesia.

Media hari ini melaporkan, jurulatih Filipina Roger Gorayeb mendapati ada sesuatu yang tidak meyakinkan pada Aprilia Santini Manganang yang dilihat memiliki bentuk fizikal berotot kekar.

Inquirer.net melaporkan, Aprilia juga mempunyai tenaga yang tidak setara dengan atlet wanita.

“Kemampuan Aprilia bagaikan seorang atlet lelaki,” kata Gorayeb.

Sementara itu jurucakap kontinjen Filipina mengesahkan mereka mengemukakan aduan rasmi kepada jawatankuasa pertandingan.

“Aduan sudah dikemukakan. Terserah kepada pihak yang berkenaan untuk membuat siasatan,” katanya.

Namun jurucakap itu berkata, mereka tidak menjangkakan aduan itu akan mendapat jawapan segera.

Isu jantina dalam sukan bukan sesuatu yang baru.

Juara dunia lari 800 meter dari Afrika Selatan, Caster Semenya, misalnya pernah menjalani ujian kerana disyaki bukan wanita sejati.

Hanya selepas ujian mengesahkan dia wanita, panitia pertandingan membenarkan Caster menyertai larian berkenaan.

Pelari pecut dari India, Dutee Chand juga mengalami ‘keperitan’ akibat salah anggap jantina ini.

Mengulas cabaran yang dihadapinya, Dutee berkata, ia sangat memeritkan.

“Saya memang diciptakan Tuhan seperti ini. Saya tidak mahu mengubah apa-apa dan tidak akan menyerah,” katanya.