Menjawab kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, presiden 1MDB Arul Kanda berkata pihak berkuasa boleh mengesahkan sama ada beliau pernah berbohong atau tidak.

"Sebagai seorang profesional, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya dan bertanggungjawab kepada lembaga 1MDB, dan pemegang saham kami Kementerian Kewangan.

"Dalam konteks semasa, ini juga termasuk Ketua Audit Negara, Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

"Mereka ini adalah pihak berkuasa yang sah untuk mengesahkan sama ada atau tidak saya pernah berbohong, seperti yang telah didakwa, kerana mereka mempunyai akses kepada semua maklumat," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam catatan blognya semalam, Mahathir menolak angka yang diberikan oleh Arul mengenai bagaimana syarikat itu membelanjakan pinjaman RM41.8 bilion.

Beliau berkata, ini kerana Arul pernah beberapa kali didapati "berbohong".

Sementara itu, Arul, dalam satu kenyataan hari ini, berkata beliau ingin menjelaskan bahawa peranannya dalam 1MDB "telah dan akan terus sebagai seorang profesional."

"Saya pada mulanya dilantik untuk menjalankan semakan strategik syarikat, dan saya kini menerajui pelaksanaan pelan rasionalisasi untuk perniagaan, seperti yang dibentangkan kepada kabinet pada 29 Mei," katanya.

[Baca berita penuh/asal]