Malaysiakini menang anugerah SOPA
Wartawan Malaysiakini Nigel Aw telah memenangi anugerah kecemerlangan editorial dari Persatuan Penerbit di Asia (SOPA) yang berpejabat di Hong Kong.
Pemilihan laporan tersebut sebagai pemenang, yang diumumkan di majlis makan malam gala malam tadi di Hong Kong, bertajuk 'The rise of the Johor royal family's business empire'.
Menurut panel hakim, laporan empat siri itu adalah "satu percubaan yang jarang dilakukan dan berjaya membuka tabir di sebalik aktiviti kerabat diraja di Malaysia".
Dimulakan pada tahun 2006, anugerah SOPA merupakan anugerah paling berprestij dalam industri media Asia dan sering dianggap setaraf dengan Pulitzer Prize di Amerika Syarikat.
Panel hakim bagi anugerah itu terdiri daripada lebih 100 hakim antarabangsa termasuk wartawan, editor, kolumnis daripada penerbitan terkemuka, serta ahli akademik tersohor dari jabatan media universiti berprestij.
Pengerusi SOPA, Raymond Warhola berkata Anugerah Kecemerlangan Editorial SOPA mewakili piawaian emas dalam integriti dan profesionalisme kewartawanan di Asia.
'Anugerah paling istimewa'
Aw adalah antara segelintir rakyat Malaysia yang telah memenangi anugerah ini.
" Malaysiakini telah memenangi banyak anugerah sejak 15 tahun lalu, tetapi anugerah SOPA ini untuk kewartawanan penyiasatan adalah amat istimewa bagi kami," kata ketua pengarang kumpulan Malaysiakini, Steven Gan.
Bermula sebagai seorang wartawan pelatih di Malaysiakini pada Januari 2010, Aw (kanan dalam gambar) kini memegang jawatan penolong pengarang berita.
Aw juga antara 227 anggota media yang telah dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada tahun 2013 kerana membuat liputan dari lapangan ketika kejadian pencerobohan di Lahad Datu.
Klik pada pautan di bawah untuk membaca laporan yang memenangi anugerah SOPA.
Part 1: The case of Forest City and the Johor sultan
Part 2: Johor crown prince a top millionaire at age 30
Part 3: Of reclamation, sand and the royal company
Part 4: Royal businesses: Who is Daing A Malek?

