Kementerian Dalam Negeri menyatakan, polis sudahpun menyiapkan kertas siasatan ke atas 1Malaysia Development Bhd berhubung dakwaan pecah amanah.

Kertas siasatan itu dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 9 Mac untuk tindakan lanjut, kata kementerian dalam satu jawapan di Parlimen.

Siasatan itu dibuat susulan aduan pada Disember lalu oleh timbalan ketua bahagian Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (jenayah pecah amanah),” kata kementerian dalam jawapannya kepada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara).

Pua meminta kementerian itu mendedahkan status siasatan polis ke atas 1MDB berhubung transaksi berjumlah berbilion ringgit.

Beliau juga mahu penjelaskan jika polis sudah mengambil keterangan Jho Low memandangkan terdapat dokumen yang menunjukkan wang disalurkan ke dalam akaun bank tersebut.

Jawapan kementerian tidak menjawab persoalan itu.

Ia sebaliknya menyebut, Pejabat Peguam Negara sudahpun mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengutamakan audit ke atas 1MDB dan mendapatkan dokumen berkaitan tanpa sebarang halangan.

Ketua Audit Negara juga diarahkan untuk mengenalpasti jika terdapat sebarang salahlaku.