Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di sebalik persepsi salah dan prejudis sesetengah pihak terhadap dunia teater, anak-anak yatim sebenarnya mampu disuntik semangat dan membuka minda mereka supaya lebih bersedia menghadapi masa depan.

 

Mereka biasanya memang kurang bernasib baik kerana tidak membesar dalam keluarga yang normal, manun pengarah teater Kota Kelip-Kelip Fazleena Hishamuddin memberitahu kekurangan dalam bidang akademik bukan alasan untuk mengetepikan mereka.

 

Kata Fazleena ( gambar, kanan ), masalah hidup tanpa keluarga yang dijaga ibu atau ayah memang boleh menjejaskan pencapaian akademik seseorang.

 

“Namun kalau takdirnya mereka kurang cemerlang dalam akademik, sekurang-kurangnya biarlah bidang seni membantu,” katanya.

 

Fazleena bercerita mengenai persembahan teater Kota Kelip-kelip yang menggabungkan 10 anak-anak yatim di bawah bimbingannya.

 

Teater ini dipersembahkan selama dua hari mulai 13 Jun di Damansara Performing Arts Centre di Petaling Jaya.

 

Menurut Fazleena, bakat lakonan anak-anak yatim itu memang besar dan pengarah, penerbit, artis atau orang yang melihat lakonan mereka boleh melihat ada sesuatu pada kanak-kanak tersebut.

 

“Ini yang kami lakukan di Akademi Seni Teach For The Need (TFTN) ini.

 

“Apa yang saya lihat ramai orang boleh berjaya dalam seni. Jadi kita kena bagi peluang pada anak-anak ini,” katanya.

 

Untuk menjayakan teater berkenaan, kanak-kanak terbabit diberi latihan intensif selama dua minggu sejak permulaan cuti sekolah lalu.

 

Kata Fazleena, teater suatu seni yang memerlukan disiplin sangat tinggi dan memberi keseimbangan rohani, membentuk kerjasama berkumpulan sekaligus melahirkan perasaan kasih saying antara satu sama lain.

 

“Masyarakat perlu datang dan beri sokongan.

 

“Beri peluang kepada anak-anak yatim ini dengan membuka minda kita untuk melihat bakat seni sebagai platform membantu anak muda menentukan hala tuju masing-masing,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS