Naib presiden PAS yang baru Idris Ahmad mengingatkan kepada semua ahlinya supaya tidak menuduh pemimpin mereka mahu bekerjasama dengan Umno.

Dengan memberikan contoh, walaupun terdapat pemimpin PAS yang minum teh bersama pimpinan dari musuh tradisi mereka itu, Idris memberi peringatan kepada seluruh ahlinya supaya tidak membuat kesimpulan bahawa mereka mahu bersama Umno.

"Satu ketika dahulu ada orang menuduh almarhum ustaz Harun Taib dan almarhum ustaz Abu Bakar Chik akan menyertai Umno.

"Sedangkan mereka berdua meninggal di dalam perjuangan PAS. Yang menuduh mereka berdua belum pasti mengakhiri hayat bersama dengan PAS.

"Janganlah bersikap melampau sehingga tidak boleh lihat pemimpin PAS yang kita benci minum teh bersama pemimpin Umno, terus dituduh menjadi Umno.

"Sedangkan orang yang mereka suka siang, malam bersama pemimpin Umno tidak dituduh apa-apa pun," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Selain itu, ahli parlimen Bukit Gantang itu berkata, walaupun sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah dipelawa supaya parti Islam itu bergabung dengan Umno, namun Hadi dengan tegas menolak ajakan itu.

Sehubungan itu, Idris menjelaskan adalah tidak masuk akal sekiranya seorang pemimpin yang melawan Umno sejak kecil ingin mengkhianati parti dengan menjalinkan kerjasama bersama dengan Umno.

"Untuk makluman, tuan guru haji Hadi pernah diajak oleh pemimpin Umno untuk bergabung dengan PAS tetapi dijawab dengan tegas, PAS tidak akan bersama dengan Umno sebaliknya dengan Pakatan Rakyat.

"Tidak masuk akal usia dan umurnya hari ini hendak khianat dan menghitamkan sejarah hidupnya dengan menyertai Umno- sebuah parti yang beliau lawan sejak kecil lagi

"Jangan terlalu marah sehingga sanggup menuduh pemimpin PAS ketagih sangat dengan Umno," katanya lagi.

Peringatan pada tukang fitnah

Justeru, Idris memberi peringatan supaya individu yang memfitnah pemimpin PAS menggunakan masa yang ada untuk berdakwah dengan anggota keluarga mereka yang menganggotai Umno supaya menyertai parti itu.

Katanya, pihak yang menyertai PAS adalah terdiri daripada mereka yang memahami dasar Islam dan bukan disebabkan benci atau kecewa dengan parti pemerintah itu.

"Ini merupakan satu tuduhan orang yang kecewa dengan tuan guru haji Hadi Awang yang masih mendapat sokongan daripada ahli.

"Cuba lihat kiri kanan dulu, adakah tidak ahli keluarga mereka yang tidak menyertai Umno.

Alangkah baiknya masa yang terluang untuk menulis dan memfitnah orang lain menyertai Umno digunakan untuk berdakwa kepada keluarga terdekat untuk bersama dengan perjuangan PAS.

"Mereka yang sertai PAS faham sebab apa mereka bersama PAS. Mereka menyertai PAS bukan kerana benci individu dalam Umno, bukan kerana kalah berlawan dalam persidangan Umno, bukan kerana kecewa tidak dapat projek tetapi kerana dasar Islam," katanya lagi.