Mazlan Aliman, satu-satunya calon pro-Pakatan Rakyat yang terpilih sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam pemilihan minggu lalu, akan membuat keputusan untuk meletakkan jawatannya atau tidak Isnin ini.

“Tunggu 15 hari bulan (Jun ini), pada 15 hari bulan ini saya akan tetapkan pendirian saya di Kuala Lumpur, saya akan maklumkan pada media,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Ditanya mengapa memilih tarikh selepas Konvensyen Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa), beliau dengan tegas menolak mempunyai kaitan dengan NGO itu.

“Ada sebab lain (pilih 15 haribulan), jangan kaitkan saya dengan PasMa,” katanya.

PasMa akan bermesyuarat pada Sabtu ini bagi memutuskan sama ada menubuhkan sebuah parti Islam baru susulan masalah berterusan PAS dan DAP.

Muktamar PAS minggu lalu menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP yang dibawa oleh Dewan Ulama.

Mazlan sebelum ini mempertimbangkan kemungkinan akan meletakkan jawatannya.

Beliau terkesan dengan krisis yang dihadapi PAS pada ketika ini yang baginya sangat mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi.

Penggerak NGO pemantau kegiatan Felda itu sedih apabila ramai antara rakan seperjuangannya tewas dalam pemilihan yang menyaksikan kumpulan proulama hampir menyapu bersih jawatan dalam parti.