Berdamai: Bekas MB saran DAP mulakan langkah
Menyeru supaya berdamai, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata DAP perlu mengambil langkah pertama untuk menarik balik keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Keputusan DAP itu telah mendorong PAS untuk bertindak balas dengan meluluskan usul di muktamarnya minggu lalu untuk menghentikan kerjasama politik dengan parti itu.
"Buat permulaan, saya ingin mencadangkan DAP supaya menarik balik kenyataan untuk memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang," kata Muhammad.
Muhammad yang kini seorang ahli PAS, juga memohon anggota Majlis Syura Ulama dan pimpinan tertinggi PAS supaya dapat mengambil satu sikap yang dapat menyelamatkan hubungan sesama parti dalam Pakatan Rakyat
Bekas menteri besar juga menasihatkan DAP supaya tidak memberi tekanan kepada Menteri Besar Selangor, Azmin Ali supaya memilih antara DAP dengan PAS.
"Ini kerana kenyataan tersebut tidak mencerminkan semangat Pakatan Rakyat yang telah diberi mandat besar oleh rakyat negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu," katanya dalam satu kenyataan.
Pada hari Selasa, pengerusi DAP Selangor Tony Pua meminta Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, untuk memilih antara DAP dan PAS untuk mentadbir kerajaan negeri Selangor.
Ia selepas MP PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar membuat gesaan yang sama terhadap Azmin.
Ini berdasarkan kepada premis bahawa gabungan Pakatan tidak lagi wujud selepas PAS meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
Bagaimanapun, PAS, di bawah dominasi baru kepimpinan konservatif yang pada mulanya mendesak supaya usul itu diluluskan, telah menegaskan bahawa perkara itu belum muktamad.
Azmin enggan diheret ke dalam pertikaian tersebut yang disifatkannya sebagai "kebudak-budakan".
Sama ada gabungan PKR-PAS atau PKR-DAP, akan meletakkan kerajaan Selangor dalam kedudukan yang tidak menentu kerana ia akan hanya terdiri daripada 28 daripada 56 ADUN, iaitu betul-betul separuh.

