Hasrat sehidup semati dimakbulkan
Sehidup dan semati. Hasrat warga emas Zaharah Mahmood, yang mahu sehidup dan semati bersama suaminya dimakbulkan Allah.
Zaharah, 68, meninggal dunia sebaik sahaja jenazah suaminya Hassan Che Noh, 96, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Bukit Marak di Kota Bharu semalam.
Anak pasangan itu, Siti Noriza, 41, berkata bapanya meninggal dunia pada jam 7.10 malam kelmarin, manakala ibunya, 10 pagi semalam selepas jenazah bapanya dikebumikan.
"Sebelum itu, emak beritahu saya yang dia juga akan menyusul selepas bapa pergi (meninggal dunia)," katanya ketika ditemui Bernama di rumah pasangan itu di Kota Bharu semalam.
Siti Noriza berkata jenazah ibunya dikebumikan bersebelahan pusara bapanya jam 5 petang tadi.
Siti Noriza berkata ibunya yang mempunyai sakit angin ahmar mula kritikal selepas bapanya meninggal dunia petang semalam.
"Ayah yang juga bekas juruukur meninggal dunia kerana angin ahmar selepas diserang sakit itu sebulan lepas," katanya.
Beliau berkata kedua-dua ibu bapanya berkahwin sejak 50 tahun lepas dan dikurniakan sembilan orang anak.
"Kami reda pemergian kedua-dua orang tua kami kerana Allah lebih menyayangi mereka," katanya.
- Bernama

