Rekod baru warnai pencapaian negara
Kontinjen negara menambah lima pingat emas pada hari ketujuh temasya Sukan SEA ke-28 untuk kekal di tempat keempat dalam carta pungutan pingat yang dikuasai oleh tuan rumah, Singapura.
Kontinjen negara kini mengumpul 32 emas, 33 perak dan 43 gangsa.
Tambahan pingat emas diperolehi menerusi acara menembak, olahraga, renang dan boling.
Namun kejayaan perenang berusia 18 tahun dari Kuching, Sarawak, Welson Sim mencipta rekod baharu Sukan SEA dalam acara 400m gaya bebas menjadi tumpuan kontinjen hari ini.
Beliau memadam rekod milik perenang senior, Daniel Bego 3:53.99s yang dicatat di Vientien pada Sukan SEA Laos 2009 dengan catatan masa 3:53.97s.
Skuad bola sepak bawah 23 (B-23) negara menutup aksi temasya kali ini dengan meraih kemenangan selesa 3-1 ke atas Laos pada perlawanan terakhir kumpulan B di Stadium Bishan.
Keputusan itu sedikit sebanyak menyelamatkan maruah skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu yang mendapat kritikan hebat daripada peminat bola sepak negara setelah gagal ke separuh akhir.
Dalam pada itu, kontinjen tuan rumah terus mendominasi carta pungutan pingat dengan 66 emas, 58 perak dan 69 gangsa dan diikuti Vietnam dengan 57 emas, 31 perak dan 50 gangsa.
Sementara Thailand masih di tempat ketiga dengan 55 emas, 62 perak dan 49 gangsa.
Sebanyak 40 pingat emas ditawarkan hari ini di mana olahraga yang akan menutup tirainya menawarkan 10 pingat emas.
Sementara itu, dua kali lagu 'Negaraku' bergema di Stadium Nasional Singapura setelah dua atlet olahraga negara berjaya menyumbangkan pingat emas pada hari ketujuh temasya Sukan SEA semalan.
Dua pingat emas negara itu disumbangkan oleh atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin dan Nauraj Singh Randhawa dalam acara lompat tinggi lelaki.
Muhammad Irfan berjaya mengungguli acara tersebut setelah melakukan lontaran sejauh 56.65m, mengatasi pencabar terdekat, Narong Benjaroon dari Thailand yang melontar sejauh 52.59m.
Pingat gangsa bagi acara itu menjadi milik atlet Thailand, Kwanchai Numsomboon dengan jarak 51.02m.
"Allhamduillah ...saya bersyukur kehadrat ilahi kerana berjaya meraih pingat emas dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada jurulatih, keluarga dan rakan-rakan yang telah banyak memberi semangat kepada saya untuk menang hari ini," katanya kepada pemberita
Pemenang pingat emas acara yang sama pada Sukan SEA edisi Myanmar 2013 itu berkata beliau bagaimanapun terkilan kerana gagal mencapai sasaran untuk memadam rekod kejohanan, 59.50m yang sebelum ini dilakukan oleh James Wong Tuck Yim dalam Sukan SEA edisi Brunei pada tahun 1999.
Atlet berasal dari Seremban itu berkata catatan peribadi terbaiknya ialah 58.04m pada Kejohanan Terbuka Malaysia di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada bulan lepas.
Sementara itu Muhammad Irfan terkejut melihat kedua ibu bapanya hadir menyaksikan kejayaannya meraih pingat emas di Stadium Nasiona Singapura itu.
'Emak jahat...emak jahat', jerit atlet lempar cakera negara itu bila ternampak kedua ibubapnya itu.
Muhammad Irfan berkata pingat emas yang dimenanginya itu amat bermakna daripada sebelum ini dengan kehadiran keluarga tersayang yang datang secara mengejut tanpa memberitahunya terlebih dahulu.
Pemenang pingat emas acara yang sama pada Sukan SEA edisi Myanmar dua tahun lepas itu berkata beliau rasa gembira apabila melihat kelibat orang tersayang setelah berjaya mempertahankan pingat emas itu.
"Saya hanya menyedari emak datang baru sekejap tadi... ia amat memeranjatkan saya," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, emaknya, Rubiah Mat Sidek berkata beliau dan suaminya Shamsuddin Sani serta tiga ahli keluarga lain sengaja merahsiakan perkara itu kerana tidak ingin mengganggu tumpuan anaknya walaupun telah sampai ke Singapura dua hari lepas.
Rubiah berkata setiap hari selepas solat beliau mendoakan kejayaan anaknya dan akhirnya doanya tersebut dikabulkan (diterima) Tuhan.
Sementara itu, Nauraj Singh Randhawa dinobatkan sebagai juara lompat tinggi selepas berjaya melakukan lompatan setinggi 2.13m, mengatasi pemenang pingat perak, Van Thuy Dao dari Vietnam dari segi jumlah lompatan.
Nauraj berjaya melepasi ketinggian 2.13m dengan hanya satu lompatan, manakala Van terpaksa melakukan tiga kali lompatan bagi melepasi ketinggian tersebut.
Pingat gangsa bagi acara tersebut turut menjadi milik negara apabila Muhammed Ashraf Saipu Rahman melakukan lompatan setinggi 2.11m.
Nauraj berkata beliau terpaksa bekerja keras kerana mendapat saingan hebat daripada peserta lain.
"Saingan yang saya terima hari ini cukup hebat iaitu ketika melakukan lompatan terakhir," katanya.
Katanya selepas ini beliau akan memberi sepenuh tumpuan bagi mencari tiket kelayakan untuk beraksi di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
"Saya masih ada lebih kurang 11 bulan untuk membuat persiapan bagi layak ke Olimpik dan menjadi impian semua atlet untuk beraksi di kejohanan sukan terbesar dunia itu," katanya.
- Bernama

