Siaran langsung siasat 1MDB langgar peraturan
Idea menyiarkan prosiding siasatan terhadap 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 85, kata speaker Dewan Rakyat.
Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata mana-mana jawatankuasa termasuk PAC tidak dibenarkan menyiarkan perbincangannya selagi penyata lengkap belum disiapkan dan diserahkan kepada Majlis Mesyuarat Parlimen atau dewan.
Katanya, objektif peraturan mesyuarat itu kerana individu yang memberi keterangan tidak dilindungi kekebalan seperti ahli parlimen yang mengambil bahagian dalam prosiding parlimen.
“Lagipun, hak untuk mengetahui terlebih dahulu keterangan keterangan yang dihujah di dalam mesyuarat jawatankuasa ialah Majlis Mesyuarat Parlimen melalui pembentangan penyata oleh jawatankuasa jawatankuasa yang berkenaan,” katanya kepada BNBBC.my .
Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng dilapor mencadangkan supaya prosiding siasatan PAC ke atas 1MDB diadakan secara langsung dengan menangguhkan Perkara 85 Peraturan Mesyuarat parlimen itu.
Pandikar berkata, selagi peraturan itu berkuat kuasa, siaran langsung penyiaran prosiding oleh jawatankuasa parlimen tidak dibenarkan.
Katanya, sekiranya orang awam sudah mengetahui keterangan melalui siaran langsung, apa perlu lagi perkara itu dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Parlimen.

