Bermula dengan hanya menemani rakan untuk menghadiri sesi mencari bakat untuk program Mentor Legend, akhirnya Fahmi Esmail sendiri yang terbabit secara langsung sebagai penyanyi.

Berusia 26 tahun, Fahmi memang tidak pernah bermimpi beraksi di atas pentas sebagai penghibur.

Tambahan pula dia tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan nyanyian.

Namun bekas pramugara AirAsia itu kemudian terpilih menjadi protege pencipta lagu dan penyanyi terkenal, Ajai.

Anak muda yang bernama penuh Mohd Zulfahmi Esmail berkata, apabila dipilih Ajai untuk digilap bakatnya dalam siri Mentor Legend, dia terpaksa mendapatkan cuti tanpa gaji daripada majikannya.

"Segalanya untuk mencuba nasib," katanya.

Ternyata pertaruhan Fahmi dalam bidang seni tidak terhenti setelah pertandingan berakhir.  Dia yang terkenal dengan suara bernada tinggi dan nyaring, dilamar syarikat rakaman Wake The Baby Records di bawah tanggungjawab Ajai.  

Setelah selesai tugas sebagai mentor, Ajai kini bertindak selaku penerbit album Fahmi yang bakal menyusul di pasaran.

Sebagai pengenalan, sebuah single diterbitkan daripada album berkenaan, berjudul Halang yang diilhamkan sepenuhnya oleh Ajai.

Kata Fahmi proses rakaman belangsung semalaman selelas berlatih selama hanya beberapa hari.

"Saya sangat bersyukur, impian melahirkan single termakbul," katanya.

Sementara itu Ajai berkata Halang adalah lagu balada yang sangat bersesuaian dengan suara Fahmi.  

"Dalam lagu ini, peminat mampu mendengar kelunakan suara Fahmi yang sebenar.  Inilah dia aset yang Fahmi miliki.  Liriknya pula mengisahkan percintaan yang tidak kesampaian," katanya.