Sasterawan Negara Datuk A Samad Said kini sah menjadi ahli DAP selepas kemasukannya diumum pemimpin veteran parti itu Lim Kit Siang sebentar tadi.
Menyatakan Samad sebagai "Perwira Ubah" Lim juga menyerahkan kad keahlian kepada penulis sajak Tetamu Senja itu.
Sementara itu Samad berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk menyertai DAP tetapi tidak pernah dizahirkan.
Katanya, sebagai penulis yang sudah lama berkecimpung dalam bidang kesusasteraan, tidak ada makna jika karyanya langsung tidak mendekati rakyat.
Mengenai reaksi pihak lain terhadap keputusannya menyertai DAP, beliau yang mesra dipanggil Pak Samad memberitahu, memang ada orang yang kurang bersetuju.
Malaysia National Laureate n Perwira Ubah(Warrior of Change)Pak Samad Said menyertai(joins)DAP di Gua Musang,Kelantan
pic.twitter.com/TbugmnMFda
— Lim Guan Eng (@cmlimguaneng)
June 13, 2015
"Mereka menganggap tindakan ini akan mencederakan imej Sasterawan Negara, tetapi bagi saya ia tidak menjadi masalah kerana setiap tindakan pasti ada pro dan kontranya," kata Samad.
Sementara itu Lim berkata kemasukan Samad menyertai DAP adalah detik bersejarah untuk parti berkenaan.
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke pula menyatakan Gua Musang dipilih untuk mengisytiharkan penyertaan Samad ke dalam DAP kerana sasterawan tersebut adalah penasihat Gabungan Impian Kelantan (GIK).
GIK adalah pertubuhan yang aktif membantu membina rumah mangsa banjir di Kelantan.
Semalam sebanyak 40 buah rumah yang dibina semula diserahkan kepada penduduk di Kampung Pasir Tumboh selepas ia dirosakkan banjir besar pada tahun lalu.
