Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebaik Umar Hasfizal melontarkan suara menyanyikan lagu Ibu, wajah Hasfizal Mukhtar jelas kelihatan teruja menyaksikan persembahan anaknya itu di atas pentas

Keadaan itu berlaku memang ada sebabnya. Umar bukan remaja biasa, sebaliknya dia anak istimewa kerana menghidap autisme.

Kata Hasfizal membesarkan anak seperti Umar bukanlah mudah kerana mereka sekeluarga berdepan pelbagai dugaan.

Bermula dengan kesabaran dan ketabahan, Hasfizal berkata, mereka hanya mengesan bakat nyanyian Umar ketika dia berusia 10 tahun.

"Ia adalah perkara yang begitu mengujakan dan tidak disangka," katanya.

Menurut Hasfizal, ketika itu Umar berada di darjah empat sekolah dikendalikan Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom).

“Saya pun tidak sangka. Semasa Umar masuk sekolah khas Nasom, guru dia perasan anak saya suka menyanyi dalam kelas dan masukkan dia dalam pertandingan nyanyian.

Terlibat dalam filem juga

"Kami pun sebagai ibu bapa baru tahu hari itu," katanya.

Bakat unik Umar memang dapat dilihat ketika dia dijemput menyampaikan lagu sempena majlis makan malam Inisiatif Sokongan Autisme Nouri (Insasi), sebuah pertubuhan khas untuk membantu penghidap autisme terutama dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Tuah Umar terus menyerlah apabila dia memenangi tempat kedua pertandingan nyanyian Anugerah Autistik Semula Jadi Antarabangsa 2013 lalu di Kanada.

Sejak itu Umar sering menyertai pelbagai pertandingan menyanyi dan pernah mendapat tempat kedua dalam the Malaysian Special Idol 2006, selain diundang megadakan beberapa kerabat dan orang kenamaan dalam negara.

Hasfizal berkata, Umar berpeluang mengembangkan lagi bakatnya melalui filem Redha - Beautiful Pain karya Tunku Mona Riza.

“Kami akan pergi sejauh mungkin dalam muzik untuk kembangkan bakat Umar.

“Penerbit filem Redha, Haris Sulong berhajat untuk menggunakan suara Umar sebagai lagu latar dalam filem berkenaan," katanya.

Redha filem yang membangkitkan kesedaran ramai terhadap pesakit autisme turut dibintangi Namron dan  Remy Ishak dijangka berada di pawagam September tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS