Melissa: Saya tak pernah terfikir sertai politik
PKR mungkin sering menjadi tumpuan kerana kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi bagi peguam muda Melissa Sasidaran, menjadi anggota parti itu sebagai peluang untuk mengetengahkan pandangannya terhadap hak perlembagaan.
Bagaimanapun, peguam jelita yang lemah lembut tetapi lantang bersuara itu tidak pernah terdetik untuk menyertai parti politik itu pada awalnya.
"Saya terlibat dalam pilihan raya ke-13 sebagai agen mengundi, tetapi saya fikir itu langkah yang paling jauh saya akan pergi dalam politik," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini bulan lalu.
“Saya mengikuti politik. Cuma saya tidak pernah terfikir satu hari akan terlibat dengan mana-mana parti kerana beranggapan lebih baik tugas itu diberi kepada ahli politik. Saya peguam, itu saja yang saya tahu,” kata wanita yang berasal dari Johor itu.
Walaupun Melissa tidak pernah mengimpikan untuk menjadi ahli politik, pandangannya itu berubah selepas dia ditawarkan jawatan dalam kepimpinan muda PKR.
"Tahun lalu saya diajak Ketua AMK Nik Azmi Nik Ahmad untuk menyertai parti, dan buat pertama kali, saya mempunyai pilihan untuk mempertimbangkan sama ada politik akan menjadi platform tambahan bagi saya untuk berkerja dengan isu yang sedang saya titikberatkan.
"Saya berfikir panjang dan mendalam, kerana ia bukan keputusan yang senang. (Tetapi) perkara yang membuatkan keputusan itu lebih senang diambil adalah apabila saya mendapat sokongan daripada rakan.
“Dan apabila pandangan saya mengenai isu yang saya bawa sejajar dengan nilai parti dan juga PKR lebih berbilang bangsa daripada parti lain," katanya.

