Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS Bukit Katil: Jangan biar ahli resah
Diterbitkan:  Jun 14, 2015 3:52 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

PAS kawasan Bukit Katil menggesa kepimpinan PAS pusat segera dan tidak berlengah untuk menyelesaikan isu usul memutuskan hubungan dengan DAP yang diluluskan tanpa bahas dalam muktamar parti itu awal bulan ini.

 

Dalam satu kenyataan, kawasan itu berkata pihaknya sangat terkesan dengan isu itu kerana hubungan baik mereka dengan DAP di peringkat parlimen itu.

Sekaligus penangguhan penyelesaiannya menyebabkan akar umbi semakin resah dan rakyat tertanya-tanya pendirian sebenar PAS dalam isu itu, tegas PAS Bukit Katil.

"PAS Pusat (perlu) memberikan kata putus dengan segera tentang hubungan PAS dengan DAP dan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

"Jangan biarkan isu ini berlarutan sehingga menyebabkan ahli dan rakyat tertanya-tanya pendirian sebenar PAS.

"Sebagai parti yang matang PAS dan DAP mesti duduk semeja dan berunding bagi menyelesaikan apa juga kemelut bagi membuktikan kepada rakyat bahawa Pakatan adalah sebuah gabungan yang mantap dan mampu menangani apa juga isu yang berbangkit," kata kawasan itu.

Selain itu, kawasan itu juga menggesa semua pemimpin DAP dan PAS berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan akhbar yang menyinggung perasaan masing-masing dan boleh menimbulkan rasa tidak puashati ahli dan penyokong masing-masing.

"Di pihak pemimpin pula rakyat ingin melihat pemimpin PAS dan DAP matang dan professional dengan tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat dendam dan kebudak-budakan.

Tetap dalam Pakatan

"Oleh kerana itu PAS kawasan Bukit Katil mencadangkan supaya hanya pemimpin-pemimpin tertinggi sahaja yang boleh mengeluarkan  kenyataan  dan  ia mestilah bersifat membina bukannya menambah burukkan lagi keadaan," kata kawasan itu.

Dalam kenyataan itu juga, PAS Bukit Katil cuba menyedarkan kepimpinan PAS dan DAP bahawa kedua-dua parti mempunyai titik persamaan untuk menumbangkan BN dalam pilihan raya demi membentuk kerajaan bersih, telus dan mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan  rakyat.

"Oleh kerana itu terdapat banyak ruang kerjasama antara kedua-dua parti pada masa hadapan walaupun mungkin tidak dalam bentuk persepakatan yang bertulis.

"PAS Kawasan Bukit Katil amat mengharapkan PAS meneruskan kerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat bagi meneruskan kesinambungan pemerintahan kita di negeri-negeri PR dan juga perkhidmatan bersama atas nama Pakatan di kawasan-kawasan yang kita menangi," kata mereka

Mengulas pendirian PAS kawasan itu, mereka akan akan meneruskan persahabatan dengan DAP dan PKR dalam apa juga program dan

aktiviti di parlimen Bukit Katil walau apa juga keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat.

 

"PAS Bukit Katil berpendirian bahawa kita bebas untuk bersahabat dan berkawan dengan sesiapa sahaja atas sifat PAS sebagai  sebuah parti politik dan yakin bahawa semangat 'ramaikan kawan kurangkan musuh' mampu untuk melonjakkan PAS di persada politik tanahair.  

"Nabi Muhammad SAW sendiri sentiasa bersahabat dan menolong sesiapa sahaja hatta orang Yahudi yang membencinya," kata mereka sambil mencadangkan satu jawatankuasa khas yang bebas dibentuk bagi menyiasat gejala lobi-melobi, label-melabel, fitnah memfitnah dalam pemilihan PAS.

Lihat Komen
ADS