Semangat rock tidak patah dalam jiwa penyanyi Foo Fighters, Dave Grohl walaupun selepas jatuh dari pentas hingga mencederakan kakinya.

Namun alasan itu tidak kukuh untuk membiarkan kumpulan itu terus menghiburkan peminat pada persembahan yang dijadual berlangsung.

Ekoran kejadian itu, kumpulan itu terpaksa membatalkan dua konsert yang bakal berlangsung termasuk kemunculan utama di Festival Pinkpop Netherland hari ini.

Persembahan 16 Jun di St Gallen Switzerland juga turut dibatalkan.

Persembahan akan datang Foo Fighters yang bakal berlangsung buat masa ini hanya pada 19 Jun di Stadium Wembley.

Semasa Foo Fighters baru melepaskan rindu kepada peminat dengan dengan set lagu kedua mereka Monkey Wrench di Stadium Ullevi di Gothenburg Sweeden kelmarin, vokalis itu tiba-tiba terjatuh hingga menyebabkan kecederaan pada kaki kanannya.

Namun, malam itu masih diteruskan walaupun dengan ketiadaan orang utama Foo Fighters apabila pemain drum Taylor Hawkins, mengambil alih tugas vokal dan menyampaikan beberapa lagu cover.

"Tuan dan puan, saya juga menyayangi anda. Tetapi begini, saya fikir kaki ini patah. Saya rasa ia benar-benar patah.

"Kamu pegang janji saya kerana sekarang ini Foo Fighters akan kembali dan habiskan persembahan.

"Sekarang ini saya akan ke hospital. Saya akan rawat kaki dan kembali. Kami akan memainkan lagu untuk anda lagi. Saya minta maaf.

"Kami akan melakukannya, tetapi sekarang Taylor Hawkins, kamu yang perlu melakukannya,” kata Grohl sebelum beredar dari pentas.

Hawkins merujuk kepada pemain dram yang sekali-sekala menjadi vokal utama kumpulan itu.

Tidak berapa lama selepas itu, Grohl naik semula ke pentas tetapi dengan kaki yang berbalut di atas kerusi roda untuk menamatkan persembahannya malam itu.

"Saya mungkin tidak boleh berjalan atau berlari, tetapi saya masih boleh bermain gitar dan menjerit," katanya.

Ekoran kejadian itu, Grohl memuatnaik imej kakinya yang patah dalam akaun Instagram foofighters dengan kapsyen berbunyi: "Terima kasih Gothenburg. Ia amat hebat."

Selain Grohl dan Hawkins , kumpulan alternatif rock yang terkenal dengan lagu Everlong itu turut dianggotai Pat Smear dan Chris Shiflet, gitaris dan Nate Mendel sebagai basis.