Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Skuad bola keranjang wanita menghadiahkan pingat emas ke-60 kontinjen negara pada temasya Sukan SEA ke-28 di Singapura hari ini.

Malaysia mengesahkan pingat emas itu setelah menewaskan Vietnam 82 - 50 dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk muncul juara saingan liga yang disertai enam pasukan.

Skuad bimbingan Yoong Sze Yuin itu melengkapkan jadual liga satu sepusingan dengan empat kemenangan dan tewas sekali.

"Ini suatu pencapaian yang terbaik buat kami. Skuad ini mula dipersiapkan hanya pada Mac lepas. Hanya lima pemain daripada skuad Sukan SEA Myanmar dan yang lain-lain adalah muka baru.

"Tujuan saya membawa pemain-pemain muda ini adalah untuk pendedahan dan persiapan bagi Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 2017," kata Yoong.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas dalam acara bola keranjang ialah pada 2007 di Thailand dan meraih gangsa pada dua edisi berikutnya di Indonesia (2011) dan Myanmar (2013).

Ketika di Laos, acara bola keranjang digugurkan kerana tuan rumah kekurangan kemudahan sukan.

Selepas beraksi cemerlang di sini, mereka dijadual meneruskan latihan untuk menghadapi Kejohanan Wanita Asia FIBA di China pada Ogos depan.

"Sekarang kita berada dalam divisyen dua dan saya  berharap pemain-pemain akan berjaya melayakkan diri ke divisyen  satu," kata Yoong.

Pada perlawanan terakhir kumpulan di Dewan 1, OCBC Arena dalam kawasan Hab Sukan Singapura itu, R Kalaimathi muncul sebagai penjaring terbanyak walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen sendi lutut pada kaki kirinya.

Beliau menghasilkan 14 daripada 82 jaringan.

"Seminggu sebelum datang ke sini saya jangka tidak dapat main di sini. Doktor pun tidak beri kebenaran untuk saya bermain. Selepas membuat rehabilitasi dan fisioterapi tapi masih sakit. Saya terpaksa menahan sakit.

"Saya rasa sangat gembira kerana dapat rampas balik pingat emas," kata pemain berusia 25 tahun dari Segamat, Johor,  yang membuat penampilan kedua selepas temasya Sukan SEA Indonesia pada 2011.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS