Selepas cuma mampu seri dengan Timur Leste, kesebelasan utama skuad bola sepak negara hampir sepenuhnya dikekalkan ketua jurulatih Dollah Salleh untuk berdepan asakan pasukan Palestin malam esok.

Daripada 11 pemain yang beraksi pada Khamis lalu, hanya dua digantikan. Itu pun disebabkan Joseph Kalang Tie dan Junior Eldstal belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Junior Eldstal sudah pasti tidak dapat diturunkan, manakala Joseph Kalang juga nampak masih belum mampu memberi komitmen 100 peratus. Saya akan lihat keadaannya pada sesi latihan petang ini," kata Dollah hari ini.

Dengan pemain yang sama, Dollah berharap skuad bola sepak akan mempamerkan persembahan lebih baik berbanding ketika bertemu Timur Leste lalu.

Perlawanan Malaysia malam esok adalah yang kedua bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Selain Palestin dan Timur Leste, kumpulan A turut dianggotai Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Mengulas cabaran bakal dihadapi anak buahnya, Dollah menolak dakwaan faktor usia menjadi isu dan cabaran utama kepada Malaysia yang dibarisi pemain lebih berusia berbanding lawan.

Dijangka cukup sukar

"Usia pemain Palestin dalam lingkungan 20 hingga 24 tahun tetapi ia tidak menjadi isu. Tetapi apa yang diketahui, tujuh daripada mereka adalah pemain luar yang diberi kerakyatan," katanya dalam sidang media di Stadium Bukit Jalil hari ini.

Cabaran getir skuad Malaysia memang boleh dijangkakan.

Dalam perlawanan  sebelum ini, Arab Saudi terpaksa menunggu sehingga minit terakhir untuk membolosi gawang Palestin pada minggu lalu.

"Itu membuktikan Palestin begitu bersedia dan kita tidak boleh sesekali memandang rendah kepada mereka," kata Dollah.

Sementara itu jurulatih Palestin, Abdel Naseer Barakat menganggap pertemuan anak buahnya dan Skuad Harimau Malaya adalah cabaran yang sukar atas faktor lokasi perlawanan.

"Ia pasti akan menjadi perlawanan yang cukup sukar kerana kami bermain di tempat lawan (di padang Malaysia). Bagaimanapun kami akan cuba yang terbaik untuk mengutip tiga mata penuh, Insya-Allah.

 

"Kami perlu menang perlawanan ini selepas tewas kepada Arab Saudi dalam saingan pertama. Kemenangan ke atas Malaysia amat penting supaya kami berkeyakinan meneruskan cabaran dalam saingan kumpulan ini," jelasnya.

Untuk makluman, mengikut ranking semasa Malaysia berada di tangga ke-162 senarai pasukan dunia berbanding Timur Leste (146) dan Palestin (118).