Bila ribut datang, daun pun gugur...
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memuji anggota parti yang konsisten dengan perjuangan selepas muktamar yang menyaksikan penguasaan penuh kumpulan proulama.
Pengganti penceramah popular PAS Mohamad Sabu itu mengumpamakan kumpulan itu sebagai "ranting, dahan dan daun yang kuat dan segar" selepas dipukul ribut.
"Bila ribut datang, akan adalah ranting dan daun-daun yang gugur. Maka yang akan tinggal ialah ranting, dahan dan daun-daun yang kuat dan segar.
"Tahniah kepada semua ahli dan pimpinan PAS yang terus beristiqamah. Inilah erti di sebalik tema muktamar 'Istiqamah sehingga Kemenangan'," tulis Tuan Ibrahim dalam Facebooknya hari ini.
Menurut bekas selebriti agama itu, kemenangan yang beliau maksudkan adalah kemenangan menegakkan Islam di dunia dan kemenangan sewaktu bertemu Allah di akhirat.
Kenyataan beliau itu muncul ketika mengulas tindakan ahli jawatankuasa Pusat PAS Mazlan Aliman hari ini yang melepas jawatan atas alasan memberi tumpuan penuh kepada beberapa NGO yang diketuainya.
Perkembangan pascamuktamar
Mazlan antaranya mengetuai NGO pemantau Felda ANAK.
Selama 30 bergelumang dalam PAS, Mazlan terkesan dengan 'pembersihan' rakan sejawatnya dalam pemilihan.
Beliau satu-satunya pemimpin progresif PAS yang berjaya dalam pemilihan jawatankuasa pusat parti Islam itu.
Sebelum ini beberapa pemimpin popular PAS, termasuk Mohamad Sabu meletakkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pulau Pinang susulan usul muktamar.
Perkembangan itu turut membawa beberapa pemimpin akar umbi PAS meletakkan jawatan, seperti berlaku di Jelebu.
Presiden Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi Sabtu lalu berkata sebuah parti baru akan ditubuhkan selepas Aidilfitri untuk menggantikan PAS dalam Pakatan.
Muktamar PAS di Kuala Selangor minggu lalu menerima usul Dewan Ulama tanpa bahas supaya parti itu memutuskan hubungan dengan DAP tetapi kekal dalam Pakatan.

