Seorang wanita warga Mongolia cedera parah akibat terkena empat das tembakan yang dilepaskan oleh salah seorang daripada dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal di Dataran Bandar Utama, Damansara semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, mangsa berada di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser bersama seorang lelaki tempatan sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal dalam keadaan yang mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata secara tiba-tiba seorang dari dua lelaki itu melepaskan lapan das tembakan dengan empat das mengenai tubuh mangsa.

"Kedua suspek melarikan diri sejurus melepaskan tembakan, manakala rakan lelakinya tidak mengalami kecederaan serta bertindak menghubungi pihak polis sejurus kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Azmi berkata mangsa dikejarkan ke Hospital KPJ Damansara sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Siasatan awal mendapati kejadian terbabit bermotifkan dendam dan kes disiasat di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh,"katanya.

- Bernama