Pasukan bola sepak Kelantan tidak tertekan dengan keputusan negeri membekukan penggunaan stadiumnya sepanjang Ramadan, menyebabkan The Red Warriors (TRW) terpaksa beraksi di negeri lain.

"Yang penting sikap kita perlu positif dan semua pihak perlu kompromi dalam hal ini.

"Dari segi tekanan tak ada, hanya dua perlawanan sahaja yang sepatutnya berlangsung di Kota Bharu, manakala tiga perlawanan di tempat lawan," kata jurulatihnya Azraai Khor Abdullah.

Perlawanan Liga Super diteruskan seperti biasa sepanjang Ramadan ini.

Sementara itu, Azraai juga tidak nampak masalah besar susulan pembekuan penggunaan Sultan Muhammad IV itu dan akur dengan tindakan itu.

"Keadaan ini kebetulan kali pertama berlaku, banyak aspek kena tengok terutama berkaitan sensitiviti.

"Kita perlu hormati, kerana ada sebab kerajaan negeri tegah kita guna stadium. Jadi, kena faham," kata Azrai ketika dihubungi Malaysiakini , hari ini.

Kerajaan negeri dilapor mengesahkan tidak membenarkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menggunakan stadium negeri bagi perlawanan sepanjang Ramadan kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, ia berikutan perkarangan stadium utama itu akan digunakan sepenuhnya untuk program bazar Madinah Ramadan tahun ini.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dilaporkan masih menagih ihsan kerajaan negeri membenarkan TRW menggunakan stadium tersebut.

“Dalam masa terdekat pihak pengurusan Kafa akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan negeri untuk bincang perkara ini," naib presidennya Datuk Rosmadi Ismail dilapor sebagai berkata.