BTN tak mahu bermusuh penerbit buku 'indie'
Biro Tatanegara (BTN) tidak bercadang untuk bermusuh dengan penerbit buku 'indie' susulan gesaan laporan badan itu supaya kerajaan mengharamkan buku terbitan mereka, kata Pengarahnya Datuk Raja Arif Raja Ali.
Beliau juga berharap mana-mana penerbit dan pemain industri buku itu tidak terasa dengan laporan bengkel BTN yang tidak pernah diterbitkan, malah kebocoran maklumat itu tidak harus berlaku, lapor portal berita Astro Awani hari ini.
"(Oleh) kerana itu saya minta mereka tidak terasa dengan isu ini. Semua harus jelas, ia hanya dijadikan subjek perbincangan ilmiah dalaman dan saya hairan kerana ia disebar kepada umum," ujarnya.
"Saya tidak tahu bagaimana bahan itu boleh tersebar dan bocor di khalayak awam. Ia hanya modul perbincangan dan tidak memberi maksud kepada unsur negatif 'indie' seperti yang ditakrif mana-mana pihak.
"Kita juga biasa membuat program dengan kumpulan 'indie'. Saya akan jelaskan dengan mereka nanti, kita bukan bermusuh dan tidak mahu bermusuh dengan mereka," katanya seperti yang dilaporkan oleh portal berita itu.
Dilaporkan penerbit buku bebas, Aloy Paradoks menyifatkan laporan bertajuk 'Gerakan Indie di Malaysia' sebagai kelakar dan dia tidak mengambil serius tentang perkara itu kerana tidak mendatangkan apa-apa kesan kepadanya.
Aloy Paradoks antara penerbit buku indie yang disenaraikan oleh BTN yang didakwa memberi kesan negatif kepada kerajaan dan didakwa bersifat “lucah" dan "bebas".
Laporan itu menyebut tanpa pemantauan khas daripada berwajib, buku itu akan memberi kesan negatif kepada kerajaan dan mula dijual secara berleluasa tanpa sekatan.

