Ratusan penyokong Sultan Johor berkumpul di luar istana negeri di Bukit Serene, Johor Bahru petang ini bagi menyatakan bantahan ke atas kenyataan menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Kumpulan tersebut, termasuk wakil NGO IKRAM, PERKASA dan persatuan kuil, berhimpun sejak jam 4 petang.

Kumpulan yang rata-ratanya dari pelbagai kelompok kaum itu turut membawa kain rentang dengan slogan “daulat tuanku” dan turut melaungkan slogan sama.

Para peserta perhimpunan tersebut disambut oleh Tengku Mahkota Johor yang mengucapkan perhargaan kepada mereka.

"Saya tidak mahu bercakap banyak kerana ramai orang di Putrajaya yang nak belasah saya," katanya dalam satu perutusan.

Beliau turut meluangkan masa untuk bersalaman dengan para peserta perhimpunan tersebut.

Sementara itu, laporan Sinar Harian memetik kenyataan seorang jurucakap, Abullah Md Yusof yang berkata, kumpulan itu kecewa dengan tindakan Nazri.

"Kita juga mahu Mohamed Nazri memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Johor di atas tindakan beliau," katanya seperti dilaporkan portal itu.

Ia sebagai tindakan balas kepada Nazri, yang menyelar Tengku Mahkota Johor kerana mengkritik perdana menteri.

Nazri pada hujung minggu lalu memberi amaran kepada putera raja tersebut supaya tidak masuk campur dalam hal ehwal politik jika tidak mahu “ dibelasah ” oleh kerajaan.

Sementara itu, laman rasmi pasukan Johor Darul Takzim (JDT) memuat naik tulisan bahawa perhimpunan itu mendapat reaksi positif rakyat yang sentiasa menyokong institusi kesultanan Johor.

Johor Southern Tigers juga berkata saat paling menyentuh emosi rakyat adalah apabila TMJ menundukkan kepala  tanda hormat dan demi menunjukkan bahawa baginda adalah hamba rakyat Johor.

Tunku Ismail juga presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).