Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Formula Ku Li mungkin kembali, kata Zuhdi

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Walaupun DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud, keadaan masih tidak jelas apabila pemimpin PAS kelihatan keberatan menerima perkembangan itu.

Selain beranggapan ia “ pandangan DAP ”, seorang pemimpin lantang PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata pengumuman DAP hari ini bermaksud parti itu keluar Pakatan.

Bagaimanapun, kata anggota jawatankuasa Pusat PAS itu, gabungan PAS-PKR tidak terjejas dan Pakatan sebenarnya masih kekal.

“Pakatan terus kekal dengan gabungan PAS dan PKR, sebagaimana pernah berlaku kepada Barisan Alternatif (BA) sebelum ini,” katanya merujuk peristiwa pada tahun 2002 itu.

DAP ketika itu keluar BA selepas pertelingkahan isu negara Islam yang digagaskan PAS.

Sementara itu, mengulas keadaan di Selangor, Zuhdi berkata PKR perlu membuat keputusan sama ada akan meneruskan gabungan dengan PAS dalam Pakatan atau tidak.

“Sekiranya PKR juga menarik diri dari Pakatan, maka tidak mustahil kerajaan negeri Selangor goyah,” katanya.

“Sekiranya PKR terus bersama PAS dalam Pakatan, maka mereka perlu menentukan sama ada menerima kehadiran DAP dalam Kerajaan Selangor atau tidak, di samping mereka juga perlu menentukan sama ada meneruskan sokongan kepada DAP di Pulau Pinang atau tidak.”

Pandangan peribadi

Keputusan itu, katanya lagi, bakal menentukan negeri mana yang menjadi goyah, kerajaan negeri Selangor atau kerajaan negeri Pulau Pinang.

Beliau juga berkata tidak mustahil formula Tengku Razaleigh Hamzah melalui dua barisan pembangkang akan dipakai semula di negara itu.

Parti Melayu Semangat 46 sekitar tahun 90-an memimpin barisan pembangkang melalui dua gabungan berbeza – Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat.

APU menyaksikan gabungan parti-parti Islam, termasuk PAS, sementara Gagasan Rakyat pula menyaksikan gabungan Semangat 46 dengan DAP, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Bersatu.

PAS belum menyatakan pendirian rasminya setakat ini. Seorang pegawai penerangan parti Islam itu menegaskan bahawa kenyataan Zuhdi itu cuma pandangan peribadi.

Bagaimanapun, kenyataan Zuhdi itu siarkan di Facebook Dewan Ulama dan yang hampir sama di organ rasmi PAS, Harakahdaily hari ini.