Taylor Swift rai pesakit kanser di belakang pentas
Keuzuran menghalangnya menghadiri konsert artis pujaan hatinya, tapi hasil kreativiti anggota polis di Dover, Delaware, seorang remaja perempuan bertuah dapat bersemuka dengan selebriti itu, Taylor Swift.
Victoria Marsh didapati menghidap barah tulang pada Disember 2014.
Disebabkan terikat dengan prosedur kemoterapi, Victoria tidak dibenarkan doktor meninggalkan hospital untuk menghadiri kosert Taylor di Philadelphia pada 13 Jun lalu.
Remaja itu yang turut mengalami sindrom Down terpaksa berputih mata walaupun dihadiahkan tiket ke konsert berkenaan oleh Jabatan Polis Dover.
Victoria kemudian menyerahkan tiket itu kepada kakaknya.
Namun jika sudah rezeki, tiada yang boleh menghalang.
Menyedari Victoria anak yang tidak bernasib baik, polis kemudian membantu remaja tersebut merakamkan video untuk enceritakan kisah hidupnya.
Menggunakan hashtag #TeamVictoria dan #SwiftAWish, video itu menjadi viral. Tidak itu saja, selepas disaksikan lebih 45,000 kali di YouTube dan dikongsi lebih 56,000 kali di Facebook, ‘keajaiban’ pun berlaku.
Pada malam Taylor mengadakan konsert di Philadelphia, doktor memberi pelepasan istimewa kepada Victoria keluar seketika dari hospital.
Dia diberi ‘rehat’ selama lapan jam.
Bukan saja Victoria dapat pergi ke konsert berkenaan, malah berpeluang menjadi tetamu istimewa penyanyi berkenaan di belakang pentas.

