'Indeks keganasan dijangka tak banyak ubah'
Walaupun Indeks Keganasan Global bagi tahun 2015 belum dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjangkakan kedudukan Malaysia tidak banyak berubah daripada kedudukan ke-48 daripada 162 negara bagi tahun 2014.
Empat petunjuk utama bagi menggambarkan indeks keganasan di sesebuah negara iaitu jumlah insiden keganasan, kematian, kecederaan dan juga kerosakan harta benda, kata KDN.
Dalam jawapan bertulisnya di parlimen, kementerian itu berkata walaupun terdapat pembabitan rakyat Malaysia dalam kumpulan militan Negara Islam (IS), tetapi ia tidak melibatakan kecederaan, kerosakan harta benda mahupun kematian di negara ini.
"Tidak dinafikan ia sedikt sebanyak mungkin akan memberi kesan terhadap kedudukan Malaysia kerana ia turut diambil kira data-data megenai percubaan untuk melakukan kegiatan keganasan walaupun ia tida menyebabkan kematian atau kecederaan," jawapan itu dipetik.
Menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berhubung kedudukan Malaysia dalam indeks itu, KDN berkata indeks tersebut lebih kepada ramalan berdasarkan kajian data primer dan sekunder.
"Ia tidak boleh disamakan dengan situasi sebenar bagi menggambarkan tahap keselamatan negara yang hakiki," kata kementerian itu sambil menjelaskan rakyat tidak perlu bimbang mengenai situasi itu.
Ini kerana, kata kementerian itu, kerajaan megambil inisiatif dan merancang pelbagai langkah bagi meningkatkan kesedaran tentang isu keganasan.
"Inisatif yang telah diambil kerajaan termasuk penggubalan rang undang-undang Pencegahan Keganasan 2015.
"Dan langkah-langkah lain seperti kerjasama dengan negara antarabangsa serta program penerangan di peringkat akar umbi seharusnya dapat menggambarkan setakat mana keseriusan kerajaan dalam menangani isu keganansan ini dalam negara," kata kementerian itu lagi.

