'Keluarga Razak tak akan terima selain Umno'
Dinasti keluarga Razak tidak akan dapat menyokong parti selain Umno, kata penganalisis politik James Chin.
Berdasarkan hakikat ini, beliau percaya adik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nazir, mungkin tidak akan benar-benar membentuk sebuah parti baru.
“Saya tidak fikir Nazir boleh bentuk parti politik.
"Ia akan dilihat sebagai serangan langsung terhadap abangnya Najib,” kata Chin kepada Malaysiakini .
Nazir dan Najib sama-sama anak kepada perdana menteri kedua yang juga bapa pembangunan negara Tun Abdul Razak Hussein.
Asia Sentinel melaporkan Nazir telah memulakan inisiatif menubuhkan sebuah parti politik bukan partisan baru untuk mendekati semua kaum.
Laporan itu muncul di tengah-tengah kemelut perpecahan Pakatan dan hubungan yang semakin selesa antara PAS dan Umno.
Sistem 2 gabungan kekal
Sejak beberapa bulan yang lalu, Nazir dilihat kritikal terhadap dasar-dasar Putrajaya, terutamanya dalam pengendalian kontroversi 1MDB, yang sekali gus memberi kewibawaan padanya.
Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Nazir sebenarnya sedang membentuk sebuah NGO dan bukan parti politik.
“Beliau akan keluarkan kenyataan media bagi menjelaskan keadaan,” kata satu sumber.
Sementara itu, Chin berkata kuasa ketiga dalam politik Malaysia setakat ini gagal memberi kesan.
“Jika parti baru dibentuk, seperti dispekulasikan, ia akan cuba mengambil middle ground daripada kedua-dua pihak BN dan Pakatan Rakyat.
“Jika perkara ini berjaya mereka harus memutuskan pihak mana untuk disokong.
“Sistem dua gabungan di Malaysia akan kekal untuk satu tempoh masa lagi, tiada perubahan segera,” tambahnya.

