Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh perlu memberi jawapan terhadap prestasi memalukan pasukan negara yang kecundang 6-0 kepada Palestin pada perlawanan kedua Kumpulan A, kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata selaku jurulatih, Dollah bertanggungjawab terhadap pemilihan pemain, yang berakhir dengan kekalahan tidak boleh diterima, lapor Bernama.

Tengku Abdullah menambah prestasi buruk skuad negara juga akan dibincang pada bedah siasat jawatankuasa yang akan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia Negara, Datuk Mokhtar Ahmad.

"Saya cukup terkejut dan hampa kerana jurang kekalahan yang begitu besar. Kita mengharapkan Dollah dapat meningkatkan semula (prestasi), tetapi ia tidak berlaku.

"Pihak jawatankuasa kena mengkaji prestasi jurulatih terlebih dahulu. Pemilihan jurulatih juga dibuat daripada cadangan jawatankuasa berkenaan," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita di Pekan hari ini.

Mengulas jika akan berlaku rombakan pada skuad Harimau Malaya, Tengku Abdullah juga berkata perkara itu terpulang kepada jawatankuasa teknikal selepas kaji selidik selesai.

Tengku Abdullah juga berkata kekalahan itu juga menyebabkan laluan pasukan bola sepak negara untuk mara semakin sukar, meskipun secara realistiknya peluang itu masih ada.