Arul yakin diberi peluang adil perjelas 1MDB
Presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1MDB, Arul Kanda, berkata beliau yakin Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memberi peluang seadil-adilnya untuk beliau
menjelaskan kedudukan syarikat pembangunan strategik itu.
"Walaupun terdapat pelbagai kenyataan awam mengenai 1MDB daripada anggota PAC Tony Pua (MP Petaling Jaya Utara), saya sangat yakin ahli-ahli yang berhormat dalam jawatankuasa itu akan memberikan saya peluang seadil-adilnya untuk menjelaskan kedudukan 1MDB, kepada pihak berkuasa yang sah mengikut keperluan proses," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arul Kanda dan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Halmi, akan berdepan badan parlimen itu pada 5 Ogos 2015.
"Tujuan kehadiran saya di hadapan jawatankuasa tersebut adalah untuk memberi jawapan kepada persoalan oleh anggota jawatankuasa itu," katanya.
Arul Kanda merujuk kepada pelbagai kenyataan mengenai 1MDB dan beliau yang ditimbulkan oleh Pua.
- Bernama

