Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bos FAM mungkin berundur
Diterbitkan:  Jun 17, 2015 7:55 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak menolak kemungkinan akan berundur daripada jawatan itu.

Baginda sendiri tidak menolak kemungkinan pengunduran itu akan dibuat sekiranya prestasi Harimau Malaysia tidak dapat diperbaiki, selepas dibelasah teruk Palestin 6-0 malam tadi, lapor Bernama .

Tengku Abdullah mengakui menetapkan Malaysia layak beraksi ke Piala Asia 2019 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) peribadinya.

Malaysia masih berbaki dua perlawanan dalam aksi kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia 2019 menentang Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Setakat dua perlawanan, Harimau Malaya belum berjaya mencatat kemenangan pertama.

Tengku Abdullah menerajui FAM sejak 25 Mei tahun lalu selepas jawatan itu dilepaskan oleh ayahandanya Sultan Ahmad Shah.

Namun jawatan itu tidak diperoleh dengan mudah apabila baginda dicabar oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Tunku Ibrahim dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50, tahun lalu.

Pemilihan untuk jawatan Presiden FAM bagi penggal 2014-18 akhirnya menjadi milik Tengku Abdullah dengan 27 undian berbanding Tunku Ismail (12 undi).

Harapan lepas 30 tahun

FAM sebagai badan induk bola sepak Malaysia, terus menerima kritikan lantang daripada penyokong berikutan prestasi Harimau Malaya yang semakin merudum.

Tunku Ismail sendiri terus memainkan peranannya sebagai pengkritik keras pentadbiran FAM. Malah, pada hari ini menggambarkan enggan meminjamkan lagi pemain Johor untuk beraksi dengan pasukan kebangsaan.

Malaysia sekarang berada di kedudukan 162 dalam ranking Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) – paling buruk dalam sejarah bola sepak negara.

Kedudukan Malaysia kini berada bawah negara serantau seperti Indonesia dan Singapura dan cuma atas sedikit berbanding Bangladesh, Yaman dan Hong Kong.

FAM mula menerima kritikan keras termasuk melalui insiden tifo 'anjing' yang memakai baju dengan logo persatuan itu dalam aksi Piala Sumbangsih antara JDT dan Pahang 31 Januari lalu.

Tindakan penyokong mengibarkan tifo tersebut dikatakan bagi menyuarakan kritikan terhadap FAM, dikatakan berkaitan pengurusan bola sepak, masalah sering bertukar jurulatih dan masalah penajaan.

Sebelum ini, selepas berakhir kepimpinan 30 tahun Sultan Ahmad Shah, ramai pihak meletakkan harapan tinggi untuk memulihkan prestasi pemain bola sepak negara.

Lihat Komen
ADS