'Tiada siapa sekat surat buat Anwar di penjara'
Kiriman kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkumi surat, poskad dan buku kiriman tidak disekat oleh pengurusan penjara.
Menteri dalam negeri menjelaskan setakat ini kiriman-kiriman itu mengikut ketetapan Peraturan-peraturan penjara 2000 serta prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Penjara.
“Kemudahan dan peralatan lain juga tidak dihalang dari diberikan kepada Datuk Seri Anwar sepertimana kemudahan dan peralatan yang diberikan kepada banduan lain berasaskan ketetapan peraturan dan prosedur penjara,” katanya dalam jawapan bertulis parlimen.
Menteri menjawab Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah dan jenis aduan yang dibuat oleh Anwar sepanjang beliau berada di Penjara termasuk surat, poskad dan buku yang disekat.
Dalam jawapan itu juga, menteri dalam negeri berkata semenjak Anwar yang juga bekas timbalan perdana meteri ditahan pada 10 Februari lalu, beliau tidak membuat sebarang aduan kepada pengurusan penjara.
"Sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan tertentu di luar penjara telah membuat pelbagai tuduhan terhadap pengurusan penjara Sungai Buloh berhubung layanan yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata menteri.

