'Jangan longgok semua sekali pribumi'
Masyarakat pribumi di Malaysia Timur kecewa dengan dasar-dasar berkaitan dengan mereka dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang diumumkan baru-baru ini, kata Prof Madya Madeline Berma dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Berasal dari masyarakat pribumi di Sarawak sendiri, Berma berkata, ramai pribumi yang berasakan tidak ada yang baru dalam rancangan disediakan khususnya untuk mereka itu.
Bercakap di forum mengenai RMK11 di ibunegara semalam, beliau berkata, mereka berasakan ianya sama seperti Rancangan Malaysia sebelum ini.
Beliau menceritakan pengalamannya bersama dengan Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) dan bagaimana mereka teruja apabila diminta memberi input sebagai pihak yang berkepentingan.
Bagaimanapun, katanya, apabila mengemukakan cadangan, mereka mendapati usaha mereka sia-sia kerana RMK11 sudah pun dimuktamadkan pada ketika itu.
Sebagai pihak berkepentingan, katanya, mereka mahu pandangan mereka diambil kira tetapi itu tidak berlaku.
Berma selanjut berkata, semua bumiputera dilonggokkan di bawah satu kategori dengan RMK11 terus menerus merujuk kepada kumpulan itu sebagai bumiputera dan bukan bumiputera.
Beliau menegaskan bumiputera terbahagi kepada dua - orang Melayu dan orang asal di Malaysia Timur.
Bagi orang asal itu sendiri, kata Berma, terdapat banyak kumpulan dalam kategori itu yang jauh berbeza, seperti Iban dan Penan.
Oleh itu, katanya, dasar-dasar tidak boleh dibuat dengan sasaran yang kabur, sedangkan terdapat begitu banyak lapisan dalam kumpulan-kumpulan berkenaan.

