Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Annuar Musa mengesahkan bahawa pelajar Malaysia yang dipenjara atas kesalahan pornografi kanak-kanak Nur Fitri Azmeer Nordin telah diberikan lampu hijau untuk dihantar pulang ke negara ini.

Annuar bagaimanapun berkata terdapat beberapa proses perlu dijalankan terlebih dahulu, termasuk mendapatkan input daripada kedutaan terlebih dahulu.

“Kita dapat maklumat yang dia sudah ada kelayakan untuk memohon diekstradisi, tetapi ada proses-proses tertentu," katanya.

Annuar juga berkata telah meminta Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin untuk meneliti isu itu.

Ibu bapa pelajar itu juga sedia membantu proses penghantaran pulang itu, tambah Annuar lagi.

Nur Fitri sekarang menjalani hukuman penjara sembilan bulan di United Kingdom. Pengajian pelajar 23 tahun di Imperial College London itu ditaja oleh biasiswa MARA.

Menyentuh dakwaan MARA ingin melindungi seorang pedofilia, Annuar menjelaskan bahawa ia hanya dibuat atas dasar kemanusiaan.

“(Ini) kerana dia pelajar yang kita hantar. Tidak boleh biarkan dia begitu saja,” katanya.

[Baca berita asal]