TNB: Ambil alih projek 3B 1MDB bukan menyelamat
Pengambilalihan projek loji tenaga 3B 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bukan suatu tindakan menyelamat, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Seri Ir Azman Mohd.
Beliau berkata 3B merupakan projek loji tenaga baru, dengan prospektif yang baik dan akan menambah kapasiti penjanaan 2,000 MW apabila projek itu siap kelak.
"Berdasarkan analisis kewangan, projek ini dijangka mempunyai impak positif ke atas pendapatan TNB. Ia bukan untuk menyelamat 1MDB," kata Azman menerusi satu kenyataan hari ini.
TNB yakin pengambilalihan projek ini akan meningkatkan nilai pemegang saham dan memberi nilai positif dalam jangka panjang.
Syarikat utiliti itu menerima surat pelawaan rasmi daripada Suruhanjaya Tenaga untuk menjadi pemaju utama projek untuk membangunkan loji tenaga arang batu berkapasiti 2x1000 MW di Jimah, Negeri Sembilan, dalam sebuah konsortium bersama Mitsui Co.Ltd.
"TNB ditawarkan pada paras tarif tidak lebih daripada 26.67 sen setiap kWh.
"Kami jangka akan mengemukakan cadangan berhubung pengambilalihan 70 peratus kepentingan 1MDB dalam projek ini tidak lama lagi, dengan menimbang antara lain kos kelewatan projek. tukaran asing yang lebih tinggi berdasarkan situasi semasa serta pulangan yang TNB jangkakan," katanya.
Azman juga berkata TNB telah melaksanakan penelitian wajar ke atas projek itu selain memulakan rundingan dengan 1MDB.
"Kami menegaskan bahawa tiada premium akan dibayar untuk pengambilalihan 70 peratus kepentingan dalam projek ini.
"Sebagai syarikat utiliti tenaga, TNB berminat menyertai sebagai pemaju bagi memastikan kebolehpercayaan dan jaminan bekalan untuk negara dan pada masa yang sama memaksimumkan nilai pemegang saham," katanya.
Harga saham TNB di Bursa Malaysia meningkat 14 sen pada akhir urus niaga pagi kepada RM12.75.
Syarat ambil alih

