Teka-teki 'New Life' Mat Sabu
Walaupun Presiden PAS menganggap Pakatan Rakyat masih ada, Mohamad Sabu pula berpendapat gabungan tiga parti pembangkang itu memang sudah tiada.
Bekas Timbalan Presiden PAS itu berkata, realiti politik menunjukkan Pakatan sudah berpecah, sama ada dalam bentuk 'mati' atau 'pengsan'.
"Jadi kalau nak kata Pakatan masih wujud, kita kena minta dia (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bagi penjelasanlah. Bagi saya Pakatan sudah berpecah dan sedang berpecah," katanya kepada media malam tadi.
Bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu mengulas kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa Pakatan masih 'hidup' walaupun DAP mengumumkan gabungan berkenaan sudah berakhir.
Satu lagi parti yang sebelum ini membentuk Pakatan ialah PKR.
Dalam muktamar PAS lalu, Mohamad serta pemimpin lain yang berhaluan progresif tersingkir langsung daripada barisan pimpinan parti berkenaan.
Sesetengah pihak mendakwa penyingkiran itu berlaku ekoran campur tangan kumpulan ulama konservatif yang mengedarkan senarai calon yang perlu diundi perwakilan.
Mengenai masa depannya serta pemimpin yang diketepikan itu Mohamad berkata, setakat ini beliau masih lagi ahli PAS dan akan terus berceramah selagi ada jemputan
Pada masa sama, katanya, beliau sedang melihat perkembangan semasa.
Ditanya sehingga bila 'penantian' itu akan berlanjutan, Mohamad berkata beliau memberi tempoh sehingga Aidilfitri ini untuk membuat langkah susulan.
"Sama ada nak terus jadi ahli biasa ataupun bersama dengan NGO ataupun kita melangkah ke kehidupan baru, bukan parti baru, pada masa akan datang. New life ," katanya.
Mohamad Sabu mengambil sikap "melihat dan meneliti" idea parti baru yang dijangka bakal ditubuhkan itu.
Bagaimanapun, Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu berkata, sama ada beliau akan menyertai parti baru tersebut akan diketahui selepas hari raya nanti.
"Saya dengar banyak pihak nak tubuhkan parti baru. Jadi saya sedang melihat dan meneliti. Sambil juga bertemu dengan kawan-kawan untuk mengambil sikap bersama pada masa akan datang.
"Buat masa sekarang saya tidak pasti (akan sertai parti baru atau tidak), tetapi tunggu sehingga hari raya," katanya.

