Henti salahkan orang lain, kata PM pada Palanivel
Datuk Seri Najib Tun Razak akan memanggil Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya semalam yang menyalahkan perdana menteri mengenai krisis dalaman parti itu.
Dalam twitter nya, Najib yang juga pengerusi BN mengingatkan menteri sumber asli dan alam sekitar itu supaya berhenti menyalahkan orang lain ekoran krisis dalaman yang melanda parti itu.
"Saya akan memanggil (Datuk Seri) G Palanivel untuk menjelaskan (mengenai) kenyataan beliau di PWTC yang dilaporkan.
"Beliau sepatutnya berhenti menyalahkan orang lain dan mesti patuh kepada keputusan mahkamah dan ROS," tulis Najib.
Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam, Palanivel menyalahkan Najib berhubung krisis yang dialami parti itu.
Pananivel berkata Najib menyebelahi Pentaftar Pertubuhan yang membatalkan pemilihan parti itu pada 2013.
"Barisan Nasional dan perdana menteri sendiri terlibat menekan MIC supaya menolak keputusan pemilihan sah kita dan supaya parti bersama dengan pengkhianat," katanya dalam perhimpunan bagi menunjukkan sokongan yang ada padanya.
Sementara itu Bernama melaporkan seramai 5,000 perwakilan termasuk 2,760 pengerusi cawangan hadir dalam perhimpnan itu..
Pada 5 Dis tahun lepas, RoS membatalkan pemilihan MIC yang diadakan pada November 2013 susulan menerima aduan berlaku penyelewengan dan penipuan, dan mengarahkan diadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Pemilihan semula
Pada 5 Dis tahun ini, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi semua jawatan yang dipilih antara April dan Julai, dan parti itu juga perlu membersihkan senarai pengundi dan cawangan yang ditubuhkan pada 2012.
Dalam usaha untuk mengetepikan keputusan RoS itu, Palanivel bersama-sama Datuk S Sothinathan dan Tan Sri S Balakrishnan, bekas setiausaha agung A Prakash Rao dan pengarah strateginya AK Ramalingam memfailkan permohonan di mahkamah bagi tujuan itu.
Bagaimanapun, pada 15 Jun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman itu dan memutuskan MIC perlu mematuhi keputusan RoS.
Sementara itu, di PUTRAJAYA, Bernama melaporkan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Palanivel tidak sepatutnya cuba mengalihkan perhatian terhadap masalah dalam MIC dengan menyalahkan orang lain, dan jangan babitkan
Najib.
Beliau berkata Palanivel patut mengambil tanggungjawab terhadap kemelut kepimpinan MIC.
"Kami tidak akan berkompromi dalam hal ini," katanya dalam kenyataan di Purajaya hari ini.
Tengku Adnan menasihatkan Palanivel supaya mengadakan pemilihan semula berdasarkan CWC 2009 dan senarai perwakilan 2012.
"Anggota MIC mengadu kepada RoS dan ia menasihatkan Palanivel mengadakan pemilihan semula berdasarkan CWC 2009 dan senarai perwakilan 2012. Mahkamah bersetuju, dan itu yang Palanivel mesti lakukan," katanya.

