Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Duta: Tiada aduan TLDM ceroboh Ambalat
Diterbitkan:  Jun 22, 2015 5:38 AM
Dikemaskini: Jun 22, 2015 3:06 AM

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia setakat ini tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sering memasuki kawasan perairan Ambalat sejak kebelakangan ini.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, jika benar perkara itu berlaku, kebiasaannya pihak kedutaan akan dimaklumkan mengenainya.

"Jika benar terdapat kapal tentera Malaysia di perairan Indonesia, kita akan dimaklumkan dan kita akan selesaikan secara diplomasi tetapi setakat ini tiada sebarang aduan mengenai dakwaan itu kecuali hanya cakap-cakap sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan solat sunat tarawih di kediaman rasmi Kedutaan Malaysia di Jakarta kelmarin yang dihadiri kira-kira 100 rakyat Malaysia yang berada di Jakarta.

Sebuah akhbar berbahasa Indonesia baru-baru ini mendakwa kononnya beberapa kapal perang Malaysia didapati memasuki wilayah perairan Ambalat sejak kebelakangan ini.

Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jen Moeldoko pula dipetik sebagai berkata jika benar ia berlaku, beliau akan memberi peringatan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Moeldoko berkata pihak angkatan tentera kedua-dua negara sebelum ini telah bersetuju untuk menjaga keamanan dan tidak mahu menimbulkan sebarang konflik.

Isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi atau Ambalat yang terletak antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah, Malaysia itu timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.

Peta itu menunjukkan kawasan sempadan maritim itu terletak dalam perairan Malaysia tetapi Indonesia membantah peta itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS