Wanita warga China ditemui mati lemas
Seorang wanita dipercayai warga China ditemui mati lemas di pantai Stulang Laut, di Johor Bahru semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata mayat wanita ditemui terapung oleh orang awam pada kira-kira 7.30 pagi sebelum menghubungi pihak polis.
"Pusat Kawalan Johor Baharu Selatan menerima satu panggilan telefon yang mengatakan ternampak satu objek menyerupai manusia terapung dalam air di tepi pantai Stulang Laut.
"Pemeriksaan kemudian mendapati ia adalah mayat wanita berumur lingkungan 50-an," katanya yang dihubungi.
Sulaiman berkata polis kini sedang mengenal pasti identiti wanita terbabit.
Katanya kematian wanita itu tidak berkait dengan sebarang unsur jenayah setakat ini dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, seorang lelaki dipercayai lemas dibawa arus Sungai Balang, Endau, dekat Mersing, tengah hari semalam ketika mencari pucuk paku di tepi sungai tersebut.
Ketua Polis Daerah Mersing DSP M Kumar ketika mengesahkan perkara itu berkata, kejadian berlaku pada 12.40 tengah hari.
"Seorang saksi nampak mangsa terkapai-kapai di tengah-tengah Sungai Balang tetapi tidak dapat bantu kerana tiada bot di tepi sungai ketika itu. Tidak lama kemudian, mangsa dipercayai telah tenggelam," kata beliau ketika dihubungi.
Kumar berkata menurut siasatan awal, mangsa yang dipercayai tinggal di Kampung Mentelong, Rompin, Pahang itu, memberitahu isterinya yang dia mahu mencari pucuk paku di sungai berkenaan, yang letaknya kira-kira setengah jam dari rumah mangsa.
Seramai 30 anggota termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Endau dan Mersing, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta pihak polis termasuk orang kampung di kawasan sekitar telah digerakkan untuk operasi SAR itu.
- Bernama

