Papan iklan DAP, MBMB didesak bertindak
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) didesak mengambil tindakan tegas berikutan papan iklan Ibu Pejabat DAP Melaka dan tulisan di bangunan itu didakwa tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan tersebut.
Desakan dan dakwaan itu dibuat kira-kira 100 anggota Pergerakan Pemuda Umno Melaka, Pergerakan Puteri Umno Melaka dan NGO yang berhimpun di hadapan pejabat itu semalam.
Exco Pergerakan Pemuda Umno Mohd Rafiq Naizamohideen berkata papan iklan ibu pejabat DAP Melaka juga gagal memaparkan nombor rujukan lesen MBMB, yang jelas melanggar peraturan papan iklan yang telah ditetapkan MBMB.
Selain itu, Mohd Rafiq yang juga Presiden Pemikir Muda Malaysia, berkata tulisan papan iklan dan tulisan di bangunan mestilah mengutamakan bahasa Malaysia, bagaimanapun terdapat tulisan bahasa Malaysia yang bersaiz sama dengan bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris pada bangunan pejabat itu.
"Jika mereka tidak letak nombor rujukan lesen kita boleh persoal adakah mereka (DAP Melaka) punyai lesen papan iklan yang sah daripada MBMB, kami berharap agar tindakan tegas serta cepat akan diambil terhadap semua ketidakpatuhan ini," katanya kepada pemberita.
Turut hadir Ketua Penerangan Pergerakan Puteri Umno Melaka Haryaty Hamzah.
Sementara itu, mengenai Isu papan tanda Umno yang dipasang di ibu pejabat parti itu di Pulau Pinang, yang diturunkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada hari Jumaat, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ia perlu diselesaikan mengikut undang-undang.
"Kita negara yang berundang-undang, tidak kira Umno atau DAP, macam mana sekalipun kita mesti patuh kepada undang-undang. Jangan kita ambil undang-undang dalam tangan kita.
"Jadi kalau dia (Umno atau DAP) tidak ikut syarat tindakan akan dikenakan oleh pihak berwajib," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program Ramadan al-Mubarak Peringkat Nasional oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Masjid Negara, semalam.
Tengku Adnan yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata sekiranya perkara itu berlaku di Wilayah Persekutuan sama ada di Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan, pihaknya akan meminta pemilik premis atau papan tanda untuk membuat permohonan memasang papan tanda.
Katanya, sekiranya permohonan tidak berjaya maka pemilik papan tanda akan diberi masa dua minggu untuk menurunkannya.
Namun, Tengku Adnan menjelaskan pihaknya tidak mengetahui keadaan sebenar di Pulau Pinang dan tidak pasti sama ada Umno Pulau Pinang telah meminta kebenaran untuk memasang papan tanda berkenaan.
"Di Kuala Lumpur, kami akan ambil tindakan kalau dia tak ikut syarat. Saya percaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain pun akan melaksanakan apa yang telah dilaksanakan oleh PBT Pulau Pinang (kalau tidak mengikuti syarat)," katanya.
Dilapor, penguatkuasa MBPP Jumaat lepas cuba merobohkan struktur tulisan Umno di depan bangunan parti itu di Jalan Macalister namun berjaya dihalang anggota parti berkenaan.
- Bernama

