Bos SPR elak WSJ, tunjuk bukti jika ada
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata badan pemantau BERSIH 2.0 sepatutnya mengumpul bukti dan membuat laporan jika percaya laporan Wall Street Journal (WSJ) berhubung dakwaan penggunaan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam pilihan raya umum, ada kebenaran.
"Kumpulkan bukti seberapa lengkap dan buat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika berkait rasuah supaya disiasat," katanya seperti dilapor dalam akhbar Sinar Harian.
Beliau mengulas gesaan Nurul Izzah Anwar semalam kepada SPR supaya menyiasat dakwaan dan tidak lagi memberi alasan untuk menjustikasikan dakwaan tersebut.
Akhbar itu juga menyebut, Abdul Aziz berkata ruang yang luas diberikan kepada mana-mana pihak termasuk BERSIH untuk membangkitkan mengenai kesalahan dalam pilihan raya umum ke-13 pada 2013 termasuk membuat lebih 60 petisyen ke Mahkamah Tinggi.
Laporan itu juga menyebut, beliau berkata laporan WSJ itu bertujuan memburukkan badan bebas dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mempersoal mengapa perlu mempercayai dakwaan pihak luar tanpa sebarang bukti dikemukakan.
"Kenapa mereka masih membangkitkan perkara ini, hampir tiga tahun selepas pilhan raya umum?" katanya seperti dilapor oleh portal The Malaysian Insider semalam.
Dilaporkan, Laporan Wall Street Journal (WSJ) mendakwa bahawa dana 1MDB telah digunakan untuk membiayai kempen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam pilihan raya umum lalu.
Hal demikian menyebabkan BERSIH menyuarakan rasa terkejut dan mendesak beliau menolak atau letak jwatan jika enggan berbuat demikian. Bagaimanapun dilaporkan Pejabat Perdana Menteri menafikan dakwaan WSJ.

