Kes rayuan Kementerian Dalam Negeri untuk mengetepikan satu perintah supaya kementerian itu mengembalikan lapan cakera padat (CD) yang mengandungi Kalimah 'Allah' kepada seorang kerani dari Sarawak akan diputuskan esok.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan hari ini bahawa Mahkamah Rayuan telah menetapkan esok untuk menyampaikan keputusan berkenaan.

Panel tiga hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Seri Zakaria Sam juga akan memutuskan rayuan balas oleh responden Jill Ireland Lawrence Bill.

Pada 23 April, tahun ini, mahkamah menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujah peguam Jill, Lim Heng Seng dan Shamsul yang mewakili kementerian dan Kerajaan dalam rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Julai 2014.

Jill membuat rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk tidak memberikan ganti rugi yang diminta beliau.

Pada 11 Mei 2008, CD berjudul 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah', 'Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah', telah dirampas daripada Jill sebaik beliau tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Wanita Melanau itu telah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 untuk menuntut pemulangan CD yang dirampas itu serta bayaran gantirugi.

Semasa proses prosiding pada 23 April lepas, Lim berhujah bahawa tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas CD berkenaan adalah tidak mengikut Perlembagaan dan telah melanggar hak Jill untuk kebebasan beragama yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Lim, Jill sepatutnya bebas untuk mengamalkan agamanya termasuk menggunakan Kalimah 'Allah' di mana-mana bahagian di Malaysia kerana Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan hak berkenaan.

Bagaimanapun, Shamsul semasa hujah balas berkata hak kebebasan beragama wanita itu adalah tidak mutlak dan tertakluk kepada ketenteraman awam, kesihatan awam dan prinsip moral menurut Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Menteri Dalam Negeri bertindak secara sah, rasional dan munasabah dalam keputusannya dan keputusan yang dibuat adalah bertujuan pencegahan bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.

- Bernama