Haram pukat tunda, ubah suai bot cecah RM600,000
Pengharaman penggunaan pukat tunda bagi kawasan Zon B (komersial) mulai 1 Januari 2016 melibatkan kira-kira 5,000 nelayan, memberi impak negatif terhadap nelayan dan pihak yang terlibat, kata Persatuan Perusahaan-perusahaan Ikan Malaysia Negeri Kedah.
Pengerusinya, Toh Sang Chai berkata ini kerana pukat tunda yang digantikan dengan pukat jerut bagi kawasan Zon B, memerlukan kos yang tinggi untuk mengubah suai bot.
"Kos ubah suai ini terlalu tinggi iaitu dianggarkan mencecah RM300,000 hingga RM600,000. Ini tidak dapat dilakukan bagi nelayan yang berpendapatan rendah," katanya dalam sidang media di Ipoh semalam.
Pada November tahun lepas, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan pengharaman pukat tunda di Zon B, pencerobohan nelayan Zon B ke Zon A (tradisional) dapat dibanteras.
Sehubungan itu, kerajaan membuka semula lesen pukat jerut bagi nelayan di zon B dan C bermula 1 Januari tahun ini.
Beliau berkata penggunaan pukat jerut hanya sesuai untuk bot yang besar dan kawasan tangkapan ikan yang berkelompok.
"Hal ini berbeza dengan pukat tunda yang boleh digunakan untuk menangkap spesies ikan yang lebih banyak," katanya.
Toh juga menjelaskan bahawa kawasan Zon B yang sebelum ini mencecah hingga lima batu nautika akan dilanjutkan lagi hingga ke lapan batu nautika.
"Keadaan ini boleh mendatangkan bahaya kepada para nelayan kecil berikutan keadaan bot yang tidak sesuai untuk dibawa ke tengah laut," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan membenarkan untuk pengambilan tenaga kerja warga asing kerana sukar untuk mendapatkan pekerja dalam kalangan rakyat tempatan.
- Bernama

