Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Parti Islam baru oleh PasMa ganti PAS
Diterbitkan:  Jun 23, 2015 12:19 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Sebuah parti Islam baru yang dicadangkan oleh Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) akan menganggotai gerakan baru diwujudkan DAP bagi menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat.

 

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, pakatan baru yang dicadangkan DAP selaras cadangan PasMa pada 13 Jun lalu selepas beberapa perbincangan membabitkan kepimpinan NGO itu dari seluruh negara, lapor Berita Harian hari ini.

Laporan itu juga menyebut, PasMa akan terus kekal menjadi sebuah NGO dan akan menyokong kuat penubuhan pakatan baru bagi menghadapi pilihan raya umum Ke-14 nanti.

"Cadangan PasMa antaranya mewujudkan pakatan baru dengan struktur lebih jelas disebabkan struktur Pakatan Rakyat sebelum ini longgar dan sekadar satu persefahaman.

"Oleh itu perlu diwujudkan Pakatan baru yang mempunyai struktur kepimpinan dan mekanisme jelas yang mengikat parti komponen menerusi dasar bersama… Jika ada perbezaan pandangan, bagaimana mekanisme untuk menentukannya… cadangan DAP itu menyamai cadangan PasMa,” kata Phahlolrazi seperti dilaporkan akhbar itu.

Sebelum ini DAP bercadang menubuhkan gerakan baru bagi menggantikan pakatan pembangkang yang menggabungkan kerjasama dengan PKR dan PAS.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilaporkan berkata langkah itu penting bagi memastikan perjuangan politik serta rangka kerja pakatan pembangkang selepas ini mempunyai objektif serta matlamat yang sama.

Dalam laporan itu juga, Phahlolrazi berkata perbincangan mengenainya masih berlangsung dan menunjukkan tanda positif bagi penubuhan parti Islam yang baru melibatkan NGO, kepimpinan serta ahli PasMa.

"Kita akan wujudkan Jawatankuasa penaja parti Islam baru itu dan akan terpulang untuk jawatankuasa membincangkan dengan lebih cepat daripada jangkaan segelintir pihak," beliau dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS