'Benarkan bukan Islam minum secara terbuka'
Gurauan oleh seorang guru di Kedah dan arahanya kepada murid bukan Islam supaya tidak minum dalam kelas, kedua-duanya dianggap tidak sesuai, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan.
Beliau berkata guru sepatutnya sedar dengan siapa mereka bercakap sebelum membuat lawak, sementara murid bukan Islam mempunyai hak untuk minum di mana sahaja kerana mereka tidak berpuasa.
"Kenapa buat masalah? Kita hidup dalam dunia di mana kita berdepan dengan perbezaan kumpulan etnik dalam kelas. Jadi tolong hormat orang lain semasa mengajar atau bertugas dalam bilik darjah," katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya lagi, setiap guru perlu menghormat kaum lain dan tidak mahu sesuatu yang dianggap lawak boleh memberi pelbagai maksud kepada orang yang mendengarnya.
Hashim mengulas aduan yang dibangkitkan terhadao penolong kanan hal ehwal murid Sekolah Kebangsaan Ibrahim yang dikatakan memberitahu murid bukan Islam supaya minum dalam tandas atau minum air paip atau air kencing sendiri jika mereka tidak ada air.

