Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak di Putrajaya hari ini.

Seorang pembantu kepada Palanivel yang merupakan menteri sumber asli dan alam sekitar, mengesahkan mengenai pertemuan itu yang berlangsung kira-kira pukul 9 pagi di pejabat perdana menteri.

Bagaimanapun, butiran mengenai apa yang dibincangkan semasa pertemuan itu tidak diumumkan.

Pertemuan itu diadakan beberapa hari selepas Najib melalui laman twitter menyatakan beliau akan memanggil Palanivel untuk memintanya menjelaskan

kenyataan yang dibuat oleh presiden MIC itu semasa perhimpunan khas MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Palanivel dilaporkan memberitahu beribu-ribu penyokongnya pada perhimpunan khas itu pada Sabtu bahawa Najib dan Barisan Nasional "terlibat mendesak MIC untuk menolak keputusan pemilihan parti pada 2013".

Sementara itu, Bernama melaporkan Palanivel dan empat yang lain memfailkan permohonan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya parti itu mengadakan pemilihan baru.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh memberitahu media hari ini, mahkamah menetapkan 10 Julai untuk mendengar permohonan penangguhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad.

Mereka memfailkan permohonan untuk penangguhan itu pada 19 Jun, tiga hari selepas memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi. 

  

- Bernama