Buruh maut tersepit mesin asing sampah
Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas badannya tersepit di bilah mesin pengasing sampah di tapak pelupusan sampah dekat Gebeng di Kuantan pagi semalam.
Mangsa, pekerja di tapak itu dikenali sebagai Abdullah Karim, 30, berasal dari Batam, Indonesia.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada pukul 8.32 pagi.
"Seramai 10 anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi, anggota segera mengeluarkan mangsa yang tersepit setelah bilah mesin dilonggarkan oleh juruteknik pusat sampah berkenaan.
"Bagaimanapun mangsa disahkan mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah di badannya," katanya di sini.
Beliau berkata, menurut maklumat beberapa saksi di situ sebelum kejadian mangsa sedang membuat kerja-kerja pembersihan di dalam mesin pengasing itu sebelum terkena bilah mesin pengisar yang tiba-tiba dihidupkan.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh ketika dibubungi mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, bedah siasat mendapati mangsa mati akibat kecederaan parah di bahagian dada dan badannya.
"Siasatan awal juga mendapati kematian mangsa tiada melibatkan unsur-unsur jenayah dan kesnya disahkan sebagai mati mengejut," katanya.
- Bernama

